Kenapa Perniagaan Perlu Laman Web?
Mengikut data terkini, jumlah pengguna internet di Malaysia adalah seramai 33.03 juta pada awal tahun 2023, manakala 26.8 juta adalah pengguna media sosial. Ini bersamaan dengan 78.5 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.
Jumlah pengguna internet di Malaysia dijangka meningkat setiap tahun sejajar dengan nilai capaian internet yang semakin meluas di negara ini. Kini, banyak perniagaan telah mula melakukan perubahan dari hanya menjual secara offline dan kini telah mula menjual secara online.
Mereka menggunakan pelbagai platform seperti platform laman web, media sosial, email dan sebagainya. Namun, ramai usahawan di luar sana dilihat hanya bergantung kepada satu platform sahaja dan mereka seharusnya mempelbagaikan platform jualan dengan mengabungkan dua atau tiga platform serentak.
Di sini kita akan membincangan sebab-sebab utama mengapa perniagaan pada era digital hari ini perlu mempunyai laman web. Jom kita rungkai satu persatu.
Sebab No.1: Perniagaan Anda Seharusnya Boleh Dicari Di Internet.

Di era digital hari ini, mempunyai laman web adalah penting supaya bakal pelanggan dapat mencari dan seterusnya mengetahui produk atau servis yang anda tawarkan pada bila-bila masa dan di mana-mana jua.
Sebagai contoh, Sekiranya saya ingin membeli sesuatu produk, biasanya saya akan lakukan carian di google terlebih dahulu. Ini adalah untuk mendapatkan pelbagai info mengenai produk berkenaan termasuklah ciri-ciri produk, harga, testimonial dan di mana produk berkenaan boleh saya dapatkan.
Sekiranya produk tersebut tiada dalam carian google, maka ia memberikan perspektif kurang baik terhadap syarikat yang menjual produk tersebut. Dalam merangka strategi pemasaran, proses pertama dalam customer buying journey ialah proses memberi kesedaran (awareness) berkenaan produk atau servis yang anda tawarkan.
Adalah lebih mudah untuk merangka strategi pemasaran sekiranya semua maklumat berkenaan dengan syarikat, produk dan servis yang ditawarkan berada di satu tempat. Laman web adalah tempat yang paling sesuai untuk menempatkan segala maklumat tersebut.
Sebab No.2: Membina Kredibiliti & Profesionalisme.

Bagaimana sebuah laman web mampu memberikan kredibiliti kepada perniagaan anda? Laman web yang mempunyai rekaan menarik dan penuh dengan maklumat syarikat, produk atau servis dapat membantu membina kredibiliti dan profesionalisme perniagaan anda.
Ia akan memberikan kesan positif kepada pelanggan dan membolehkan mereka lebih mempercayai jenama anda. Sekiranya syarikat dan produk atau servis anda tiada dalam engin carian ia boleh menyebabkan bakal pelanggan mempersoalkan kesahihan perniagaan anda.
Kita sememangnya lebih mempercayai sebuah syarikat yang telah mempunyai laman web dari syarikat yang tiada laman web. Kebanyakkan dan boleh dikatakan hampir semua syarikat-syarikat besar dan ternama di negara ini, bahkan di negara-negara lain telah mempunyai laman web mereka sendiri.
Ini adalah bukti nyata bahawa perlunya laman web untuk menunjukkan kredibiliti dan nilai profesionalisme sesebuah syarikat itu.
Sebab No.3: Perniagaan Anda ‘Open’ 24/7.

Tidak seperti kedai fizikal atau pejabat, laman web mampu beroperasi 24 jam sehari dan 7 hari seminggu. Ini bermakna pelanggan boleh mengakses maklumat tentang perniagaan anda dan membuat pembelian mengikut masa dan keselesaan mereka, walaupun di luar waktu perniagaan biasa.
Ia jelas mampu meluaskan lagi jangkauan dan kebolehaksesan produk atau servis anda kepada bakal pelanggan. Produk atau servis anda masih boleh terjual semasa anda sedang diulit mimpi. Untung bukan?.
Bukan hanya pelanggan boleh membeli produk anda pada bila-bila masa, ia juga memudahkan mereka membeli produk anda tanpa perlu datang ke kedai anda.
Sebab No.4: Pemasaran dan Pengiklanan.

Laman web mampu berfungsi sebagai alat pemasaran dan pengiklanan yang sangat berkesan. Ini jelas terbukti dengan peningkatan pelaburan syarikat-syarikat besar mahupun syarikat kecil & sederhana dalam pemasaran digital.
Pemasaran digital kini telah menjadi pilihan utama syarikat-syarikat dalam menjalankan aktiviti pemasaran mereka berbanding dengan cara pemasaran konvensional.
Dengan menggunakan strategi pemasaran digital yang betul seperti mengoptimumkan engin carian (SEO), Content Marketing, Social Media Campaign dan Email Marketing tidak mustahil produk atau servis anda laku keras.
Anda boleh melakukan promosi jualan tepat kepada pelanggan sasaran (target audience) dan menjangkau khalayak yang lebih luas menggunakan teknik dan tools di dalam pemasaran digital.
Sebab No 5: Menjalinkan Hubungan Bersama Pelanggan Dengan Lebih Berkesan.

Laman web dapat menyediakan platform komunikasi dengan pelanggan untuk mereka bertanya dan memberi maklum balas 24 Jam sehari 7 hari seminggu. Anda boleh menggabungkan ciri seperti borang hubungan, Live chat, soalan lazim dan ulasan pelanggan untuk meningkatkan hubungan (engagement) dengan pelanggan.
Ini penting kerana komunikasi yang berkesan melalui laman web dapat membantu membina hubungan yang kukuh dengan pelanggan. Adalah lebih mudah mengekalkan hubungan dengan pelanggan supaya dapat melakukan proses cross selling atau upselling melalui email marketing.
Sediakan promosi-promosi terkini untuk pelanggan-pelanggan setia anda pada setiap bulan atau setiap tahun. Pelanggan anda pasti menyukainya.
Sebab No 6: Meningkatkan Hasil Jualan.

Laman web yang dioptimumkan dengan baik, boleh menarik lebih ramai pelanggan yang berpotensi (lead) dan seterusnya mampu meningkatkan jualan. Dengan adanya fungsi e-commerce dalam laman web anda, ia membolehkan pelanggan membuat pembelian terus melalui laman web dan seterusnya akan mengembangkan perniagaan dan meningkatkan jualan.
Pelanggan tidak perlu bersusah payah pergi ke kedai anda untuk melakukan pembelian. Mereka boleh terus membeli secara atas talian dan produk akan dipos terus ke rumah pelanggan.
Budaya membeli secara atas talian ini semakin menjadi pilihan pelanggan, amat rugi sekiranya produk anda masih belum mengaplikasikannya. Mulakannya hari ini juga, supaya anda tidak terus ketinggalan dalam era digital ini.
Sebab No.7: Meningkatkan Daya Saing.

Di saat ini, semakin banyak syarikat menggunakan internet sebagai medium utama dalam memasarkan dan menjual produk atau servis mereka. Untuk bersaing, anda seharusnya tidak ketinggalan dalam arus kemodenan ini.
Sekiranya pesaing anda masih belum mempunyai laman web, peluang yang ada ini sepatutnya anda gunakan untuk menonjolkan lagi produk atau servis anda. Daya saing syarikat anda akan meningkat dengan memilki laman web sekiranya semua pesaing anda telah memiliki laman web.
Selepas memiliki laman web, pastinya aktiviti pemasaran anda tidak seharusnya tertumpu kepada offline sahaja. Anda perlu memanfaatkan aktiviti pemasaran digital supaya lebih ramai pelanggan berkunjung ke laman web anda dan seterusnya dapat manfaat daripadanya.
Kesimpulan.
Memiliki laman web untuk perniagaan anda adalah satu pelaburan yang berbaloi dalam usaha memperkenalkan dan membina jenama anda. Namun, suka juga untuk saya kongsikan bahawa, setiap laman web memerlukan penyelenggaraan dan pengoptimuman yang kerap bagi memastikan laman web anda terus berfungsi dengan baik dan memberi kesan seperti yang anda harapkan.
Semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada anda. Sekian.

