Perlukah Hire Pentadbir Laman Web?
Kadang-kadang kalau nak cerita yang terlalu teknikal dalam penulisan pun kuatir pembaca susah nak faham, sebab pembaca amnya dan pemilik laman web khasnya tidak semua datang dari bidang IT atau pengkomputeran. Jadi saya akan terangkan dengan cara paling ringkas agar anda mudah faham tentang topik kali ini, kenapa anda perlukan pentadbir untuk laman web anda?
Assalammualaikum dan Salam Sejahtera.
Hi, bertemu kita sekali lagi dalam mengupas topik-topik yang berkaitan dengan dunia rekaan, laman web dan dunia rekreasi. Pada kali ini saya kongsikan sebuah topik berkenaan dengan peranan dan fungsi Pentadbir Laman Web. Ini adalah siri ke 2.
Pelaburan untuk memiliki sebuah laman web telah anda buat, sekarang laman web dah ada di depan mata dan boleh di access oleh bakal pelanggan. Namun, apakah langkah seterusnya yang perlu diusahakan? Tak kan nak biarkan sahaja laman web tersebut sepi tanpa sebarang update terkini.
Sekiranya laman web anda dibina menggunakan Platform Content Management System atau CMS, Alhamdulillah, sebab sebenarnya anda sendiri boleh menguruskan laman web tersebut.
Tetapi andai laman web tersebut tidak dibina menggunakan platform CMS. Maka bertambah peninglah untuk anda menguruskannya sendiri. Sekiranya anda masih bingung tentang bagaimana nak uruskan laman web tersebut. Ada dua cara yang boleh saya cadangkan.
- Menggaji staff IT sebagai pentadbir laman web (web administrator).
- Mengupah freelancer atau syarikat IT secara kontrak.
Atau anda sendiri perlu menghadiri bengkel bina laman web untuk mengetahui selok belok dalam menguruskan laman web. Tetapi anda sebagai owner, terdapat banyak lagi tugasan yang lebih penting untuk difokuskan seperti pembangunan produk, strategi pemasaran, cash flow dan sebagainya.
Tak kan perkara sekecil isu laman web ini owner jugak nak kena fikir dan uruskan? Kan?

Sebelum saya cerita panjang lebar, perlu kita ketahui dahulu apakah sebenarnya fungsi dan peranan pentadbir laman web ni? adakah berbaloi untuk hire pekerja menguruskan laman web syarikat?
Atau anda kuatir pekerja tersebut hanya sekadar penghabis beras je nanti.. hehehe. Saya pernah kongsikan satu artikel berkenaan dengan 4 masalah utama sekiranya laman web tidak diurus dengan baik. Boleh baca di sini.
Fungsi utama pentadbir laman web (web administrator) ialah memastikan kelancaran sesebuah laman web, keselamatan dan juga prestasi sesebuah laman web itu pada tahap terbaik. Berikut saya kongsikan fungsi dan peranan seorang pentadbir laman web.
#Fungsi 01 | Menguruskan Laman Web di Web Host Manager (WHM)
Setiap laman web akan diletakkan di sebuah tempat yang dinamakan sebagai Hosting. Kebiasaannya kita akan menyewa hosting dari hosting provider seperti Exabyte, Syokhost, Cynet dan sebagainya. Terdapat pelbagai pakej hosting yang ditawarkan mengikut spesifikasi yang tertentu.
Selepas kita membayar pakej hosting tersebut, hosting provider ini tadi akan memberi kita Web Host Manager (WHM) untuk kita uruskan hosting kita sendiri.
Antara Web Host Manager yang selalu digunakan ialah seperti CPanel. Tugas pentadbir laman web menggunakan Web Host Manager ini untuk menguruskan :
- Database
- Web File
- Web Server
- Web Security
- User Account
- Domain
Hosting provider tadi akan memberikan kita maklumat untuk log-in ke dalam Web Host Manager. Biasanya mereka akan memberi maklumat tersebut melalui email yang kita daftarkan semasa proses pembelian.
Jadi, menjadi tugas pentadbir laman web untuk memastikan Web Host Manager ini boleh di access dan digunakan sepenuhnya untuk menguruskan laman web tersebut.
#Fungsi 02 | Menguruskan Nama Domain di Domain Management System
Seperti hosting, nama domain yang menjadi alamat untuk pengguna melayari laman web kita juga dibeli dari hosting provider. Harga domain juga bergantung kepada jenis domain yang tertentu. (dot.com, dot.net, dot.my dan sebagainya).
Sama seperti hosting, Syarikat atau hosting provider tadi akan memberi maklumat untuk kita log-in ke dashboard domain management kita. Di sini kita boleh menguruskan nama domain kita termasuk lah.
- Pengurusan Nameservers (DNS)
- Pengurusan Domain Security (SSL)
- Renew Domain
- Daftar Domain Baru
- Pindah Domain (Transfer & Pointing)
#Fungsi 03 | Menguruskan Back-End & Front-End Laman Web
Setiap laman web dibina atau dihasilkan menggunakan software. Terdapat pelbagai jenis software atau aplikasi untuk membina laman web. Laman web yang dibina menggunakan CMS sebagai contoh, mempunyai tempat untuk kita melakukan pengemaskinian isi kandungan yang dipanggil sebagai back-end.
Di back-end ini lah, segala fail, template, extension, plug-in, isi kandungan seperti menu, artikel, penulisan, gambar dan banyak lagi disimpan dan diuruskan. Tanpa back-end tiadalah front-end iaitu laman web yang dapat dilihat pengguna di peranti masing-masing.
Tugas seorang pentadbir laman web ialah memastikan pengurusan back-end ini dilaksanakan dengan baik. Dari back-end ini lah segala aktiviti laman web dapat dilakukan seperti:
- Kemaskini isi kandungan laman web. (artikel, produk, servis, banner dan etc)
- Menambah Menu.
- Memasang Plug-in.
- Memasang Extension.
- Melakukan Troubleshooting.
- Melakukan Back-up / recovery laman web.
- Melakukan proses update Core system, Plug-in & Extension

#Fungsi 04 | Menjalankan Proses Web Performance Optimization
Kalau nak cerita berkenaan proses-proses yang terlibat dalam web optimization ini boleh terus rujuk di sini. Antara tugas pentadbir laman web, dia juga bertanggungjawab dalam memastikan laman web:
- High Speed Loading
- Zero Error Pages
- Friendly Search Engine (SEO)
- Frequently Updated
- Constructively Engaging Website
Proses menjalankan performance optimization ini pastinya memerlukan usaha yang berterusan kerana ia bukannya satu proses yang mudah dan pantas. Proses ini memerlukan kerjasama dari semua pihak dalam sesebuah Syarikat.
Pentadbir laman web akan menjalankan proses ini secara harian dan berulang dengan strategi yang telah disusun rapi.
#Fungsi EXTRA | Menjalankan Aktiviti Pemasaran Digital
Ada antara majikan yang menganggap pentadbir laman web juga bertanggungjawab melakukan aktiviti pemasaran. Sebenarnya tidak. Dalam organisasi sesebuah Syarikat juga pastinya pentadbir laman web diletakkan di bawah Unit IT dan bukannya di bawah Unit Sales & Marketing.
Namun, tidak dinafikan pada era persaingan yang sengit ini, ada pentadbir laman web yang mampu melakukan aktiviti pemasaran digital. Ini menyebabkan workload mereka ada kalanya terlalu tinggi.
Andai bayaran gaji atau upah yang diterima juga tinggi, berbaloi untuk diterima. Tetapi sekiranya bayaran gaji atau upah hanya sekadar tahap minimum, ada baiknya memilih untuk menjadi pentadbir laman web yang berkesan sahaja.
Antara skop tugas digital marketer ialah merancang dan melaksanakan :
- Strategi Pemasaran Digital.
- Content Marketing.
- Aktiviti Search Engine Optimization (SEO)
- Social Media Marketing (SMM)
- Email Marketing.
- Pengiklanan Berbayar (Google AD)
- Pelaporan Analisa Pemasaran
- Customer Relationship Management (CRM)
Bayangkan berapa banyak skop tugas seorang digital marketer selain dia perlu menjadi lebih kreatif, data-driven, result oriented dan sentiasa perlu adapt kepada trend terkini dan juga perubahan landscape digital yang begitu pantas.
Kesimpulan.
Selepas anda mengetahui sedikit sebanyak berkenaan tugas pentadbir laman web. Tiba masanya untuk anda mengkaji dan membuat keputusan untuk mula mengambil seorang pekerja sebagai pentadbir laman web ataupun outsource task ini kepada freelancer atau Syarikat yang menawarkan khidmat pentadbir laman web.
Semuanya terpulang kepada anda sebagai pemilik Syarikat. Yang pasti, sekiranya anda telah mempunyai laman web, pastikan ada staff atau seseorang yang mentadbir laman web tersebut. Jangan dibiarkan usang tanpa sebarang update terkini sehingga mencapai tahap hosting tamat tempoh dan kehilangan domain syarikat yang amat berharga.


